Wednesday, August 17, 2011

Sajak Warkah Untukmu Ibu

Ibu
Setiap deras degupan jantungku
Engkau mampu merasakannnya
Ketika aku sedih, gembira, gelisah

Ketika aku sedih
Kaulah ubat kepada duka laraku
Menceriakan dan menghakis
Perasaan yang melunturkan
Semangatku

Ketika aku gembira
Engkau juga yang berkongsi
Kegembiraan yang menyinari saat hidupku


Apabila gelisah menyelubungi jiwaku
Engkau masih bersamaku
Menolong menyelesaikan
Masalah yang tak sudah-sudah mengusutkan
Perjalanan hidupku

Ibu
Aku tahu kasih sayang yang kucurahkan kepadamu
Tak setanding kasih sayang ibu kepada anakmu
Namun, terimalah keikhklasanku
Untuk menyayangimu ibu

Ibu
Selagi hayat dikandung badan
Aku akan sentiasa mendampingimu
Membelai dan menjagamu hingga ke hari tua

Monday, August 15, 2011

Sang Kancil dan Harimau

Harimau ternampak Sang Kancil duduk di bawah sebatang pokok. Pada ranting pokok itu ada sarang tebuan. Harimau pun menghampiri Sang Kancil.

Harimau: Hah, Sang Kancil! Di sini rupanya kamu berada.

Sang Kancil : Oh harimau, apa lagi yang kamu hendak?

Harimau: Aku hendak makan kamu.

Sang Kancil: Nak makan aku? Eh, sekarang tidak boleh, harimau. Aku telah diperintahkan oleh raja Sulaiman supaya menunggu benda ini. (sambil menunjuk ke arah sarang tebuan itu)

Harimau: (kehairanan sambil melihat sarang tebuan) Apa benda itu?

Sang Kancil: Oh, ini gong Raja Sulaiman. Baginda akan mendengar bunyi gong ini apabila baginda hendak ke hutan.

Harimau: Hmm.tentu sedap bunyi gong raja ya.

Sang Kancil: Sudah tentulah. Siapa yang mendengarnya akan rasa gembira.

Harimau sangat ingin mendengar bunyi gong raja itu dan meminta Sang Kancil memalunya tetapi Sang Kancil menolak permintaan harimau. Sang Kancil memberi alasan yang tugasnya hanya untuk menunggu dan bukan memalu gong itu.

Harimau: Kalau begitu, biarlah aku yang memalunya.

Sang Kancil: Baiklah, harimau. Jika kamu hendak memalu gong raja ini, biarlah aku pergi jauh dari sini.

Sang Kancil memberikan sepotong kayu kepada harimau. Dia meminta harimau memalu gong itu setelah mendengar arahan daripadanya. Kemudian, Sang Kancil pergi jauh dari situ.Harimau pun memalu sarang tebuan itu. Apabila sarang tebuan itu dipalu, kesemua tebuan itu keluar dan menyengat harimau.Harimau menjerit kesakitan kerana tebuan itu telah menyerang seluruh tubuhnya. Dia berlari dengan pantas tetapi tebuan-tebuan itu terus mengejarnya. Mujurlah harimau terjumpa sungai. Harimau pun terjun ke dalamnya untuk menyelamatkan diri.

WIRA SEKOLAH

Ehsan, Mei Mei, dan Susanti berkawan baik. Mereka tinggal di Taman Muafakat. Pada suatu hari, mereka pergi memancing. Mereka memancing ikan di sebatang sungai. Air sungai itu dalam.

Mereka asyik memancing. Tiba-tiba terdengar suara orang minta tolong. "Tolong! Tolong!" bunyi dari arah sungai. Mereka mencari suara itu.

"Ada budak lemas," kata Mei Mei. Ehsan pandai berenang da dia terus terjun ke dalam sungai.

Susanti terus berlari ke rumah. Mei Mei pula berlari ke pondok telefon. Mei Mei memberitahu kepada polis. Sebentar kemudian polis dan Pasukan Penyelamat pun sampai.

Kemudian, ibu bapa kepada kanak-kanak itu juga sampai. Di tebing sungai, mereka mencari Budin. Mereka nampak Ehsan sedang menolong budak lemas. Ehsan membawa budak itu ke tebing sungai.

Pasukan Penyelamat dan polis pun membantu Ehsan. Budak lemas itu dibawa ke hospital. Di sekolah ada perhimpunan. Guru Besar memuji Ehsan dan kawan-kawannya. Mereka berani dan berkerjasama menolong budak lemas itu.

Semua guru dan murid mengucapkan tahniah kepada Ehsan dan kawan-kawannya. Guru Besar mengelarkan mereka wira. Mereka digelarkan Wira Sekolah.

Sunday, August 7, 2011

Semut dan Merpati



Pada suatu hari, seekor semut sedang minum air di tebing sungai. Tiba-tiba angin bertiup kencang. Semut itu terjatuh ke dalam sungai. Semut yang malang itu terkapai-kapai di dalam air. Dia meminta tolong. “Tolong, tolong” jerit semut dengan kuat.

Seekor burung merpati berehat di pokok berdekatan dengan sungai. Burung merpati ternampak apa yang telah berlaku. Dengan pantas, dia memetik sehelai daun dan menjatuhkannya ke permukaan air berhampiran semut. Semut memanjat ke atas daun itu. Akhirnya, dia hanyut ke tebing sungai dengan selamat.

Semut berkata, “Terima kasih, sahabatku. Saya akan menolongmu suatu hari nanti.”

Beberapa hari kemudian, seorang pemburu datang ke tempat itu untuk memburu burung. Pemburu itu ternampak burung merpati sedang berehat di atas pokok. Dia mengeluarkan busur dan anak panahnya. Pemburu mengarahkan busur dan anaknya ke arah burung merpati itu.

Semut ternampak segalanya. Dia teringat burung merpati itu pernah menolongnya. Dengan pantas, semut mengingit kaki pemburu itu. Dia melompat kesakitan dan anak panahnya terlepas sasaran. Apabila terdengar jeritan kesakitan pemburu itu, burung merpati pun terbang pergi. "Terima kasih, semut," kata burung merpati itu. "Kali ini, kamu telah menolongku."